
ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang memutuskan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, di samping menyuarakan harapan lesen penjualan minuman keras pula dapat dikurangkan.
Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata susulan langkah menutup sepenuhnya premis perjudian dan loteri di Kedah, pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat memantau kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai akan berleluasa.
“Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. Cake berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutama berkaitan perjudian dalam talian,” katanya.
Beliau yang ditemui ketika membuat tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar berkata, sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian di kawasan mereka.
“Selain itu persatuan juga berharap kerajaan negeri dapat mengurangkan lesen penjualan minuman keras bagi mengehadkan penjualan arak yang dijual secara berleluasa di kedai biasa. Cara ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kadar kemalangan kerana ada kes membabitkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Semalam, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan operasi semua premis perjudian dan loteri di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Dis 2022.