
PETALING JAYA: Bukan asing bagi Umno tidak mempertandingkan jawatan presiden kerana perebutan kedudukan itu mampu memecahbelahkan parti, kata Nur Jazlan Mohamed.
Beliau yang juga timbalan ketua Umno Johor, berkata dalam sejarah penubuhan parti sejak 70 tahun lalu, hanya empat kali sahaja jawatan presiden dipertanding.
Jazlan berkata, pertandingan itu membabitkan Tunku Abdul Rahman lwn Ahmad Fuad Hassan (1951); Hussein Onn lwn Sulaiman Palestin (1978); Mahathir lwn Tengku Razaleigh Hamzah (1987) dan Zahid lwn empat pencabar (2018).
Katanya, setiap kali berlaku pertandingan presiden, pastinya berlaku perpecahan dalam Umno dengan Ahmad Fuad keluar lalu menubuhkan PAS, Sulaiman meninggalkan parti, manakala Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46.
“Manakala, pada 2018, selepas tewas, walaupun KJ (Khairy Jamaluddin) tak keluar dari Umno, namun dia dilihat sedikit menjauhkan diri daripada arus perdana parti dan lebih selesa buat hal sendiri.
“Umno sudah banyak kali berpecah bermula dengan wujudnya PAS, Semangat 46, PKR dan Bersatu. Umno tak mampu nak terima perpecahan besar sekali lagi kerana kalau kita pecah lagi, maka jangka hayat Umno tak akan lama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Jazlan ketika mengulas lanjut, berkata Zahid yang dipilih sebagai presiden Umno, pada 2018, akhirnya berjaya memulihkan parti dan kembali mendapat kepercayaan rakyat selepas menang tujuh daripada 12 pilihan raya kecil, pasca PRU14, selain merampas kembali Melaka dan Johor, pada PRN lalu.
“Selepas Umno kalah dan gagal lagi jadi kerajaan pada PRU14, kebijaksanaan Ahmad Zahid dalam membuat keputusan selepas PRU15 menyaksikan Umno terbukti masih relevan apabila parti itu menjadi penentu kepada penubuhan kerajaan perpaduan hari ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan calon mana mampu diangkat sebagai presiden Umno yang baharu.
“Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baru angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu.
“Jadilah penyokong setia kepada parti walaupun terpaksa berkorban diri,” katanya.