
PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR, Tian Chua dipecat secara rasmi kerana bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-15 lalu.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Tan Yee Kew berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti semalam.
“Ya, semalam MPP ada mesyuarat dan kami memutuskan untuk memecatnya secara rasmi,” katanya menurut laporan Malaysiakini.
“Semuanya dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas atau atas tiket parti lain. Mereka yang akan dipecat atas isu disiplin lain akan diumumkan kemudian.”
Tan berkata, Tian Chua antara lima pemimpin PKR dipecat.
Empat pemimpin lain ialah Puah Chee Haur (Parit Buntar), Ahmad Tarmizi Ghazali (Gopeng) dan M Mohganan (Taiping) dan Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).
Puah dan Tarmizi masing-masing bertanding di bawah tiket Warisan di Keranji serta Chenderiang, manakala Mohganan bertanding di Taiping sebagai calon bebas dan Nur Khairunisa bertanding di Sadong Jaya pada pilihan raya negeri Sarawak 2021.
Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu selama dua penggal, dari 2008 hingga 2018.
Beliau yang bertembung dengan P Prabakaran dan lapan calon lain pada PRU15, hilang deposit kerana hanya meraih 4,603 undi.
Pada pemilihan PKR awal tahun ini, Prabakaran menewaskan Tian Chua dalam perebutan jawatan ketua PKR Bahagian Batu dan dicalonkan parti itu untuk mempertahankan Batu pada PRU15.
FMT sedang menghubungi Tian Chua untuk mengulas.