
PETALING JAYA: Isteri kepada wartawan Pakistan yang dihantar pulang, Syed Fawad Ali Shah menulis surat kepada Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud memohon lanjutan visa untuk tinggal di Malaysia.
Menurut pejabat peguam P Waytha Moorthy, isteri Fawad, Syeda memerlukan lanjutan visa untuk menentukan di mana suaminya berada dan apakah tindakan boleh diambilnya di Malaysia, jika perlu.
Dalam kenyataan, mereka menulis surat kepada Khairul pada 6 Jan lalu dan memberikan masa hingga 14 Jan ini kepada Jabatan Imigresen untuk memberi keputusan.
Sekiranya jabatan itu gagal melanjutkan visanya, pasukan undang-undang akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap ketua pengarah kerana “gagal melaksanakan tugasnya untuk melanjutkan hak warga asing bagi tinggal di Malaysia atas sebab perundangan,” katanya.
Katanya, Waytha juga menghubungi suruhanjaya hak asasi manusia Pakistan dan Majlis Peguam untuk bantuan.
Tambahnya, Islamabad dan Suruhanjaya Tinggi Pakistan masih membisu mengenai lokasi Fawad sejak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wartawan itu dihantar pulang.
“Bagaimanapun, Fawad tidak didakwa di mahkamah di Pakistan, satu perkara yang sangat membimbangkan,” kata kenyataan itu, yang menambah terdapat dua versi mengenai keberadaan lelaki itu berdasarkan komunikasi Syeda dengan Suruhanjaya Tinggi Pakistan.
“Pasukan undang-undang kami akan berhubung dengan jabatan berkaitan di Malaysia termasuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Peguam dan suruhanjaya hak asasi manusia di Pakistan.
“Apa yang penting ketika ini adalah keselamatan Fawad,” katanya.
Minggu lalu, Saifuddin dalam sidang media berkata, Fawad sudah dihantar pulang pada Ogos lalu selepas mendapat permintaan pihak berkuasa Pakistan.