
PETALING JAYA: Arak yang tidak berlesen dan murah yang wujud di pasaran adalah penyumbang utama kepada masalah ketagihan dan bukannya disebabkan penjualan arak pada lewat malam di kedai 24 jam, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran.
Beliau mempertikaikan cadangan supaya penjualan arak dilarang selepas jam 10 malam di semua kedai 24 jam dan berkata, penguatkuasaan berkesan untuk memeriksa penjualan arak terlarang dan murah perlu diutamakan.
Beliau mencadangkan supaya pemasangan kamera CCTV di kedai arak yang disambungkan kepada majlis tempatan dan dipantau dengan berkesan.
Kula juga menggesa pemulihan masalah ketagihan arak.
“Hospital kita sepatutnya mempunyai unit khas untuk tujuan ini. Masalah ini tidak akan selesai hanya dengan hanya menghentikan penjualan arak selepas 10 malam,” katanya.
Cadangan untuk menghentikan penjualan arak pada lewat malam dibuat oleh Ramesh Rao, pegawai khas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Ramesh berkata, pengambilan arak pada lewat malam membawa kepada minum secara berlebihan, mengakibatkan kemalangan jalan raya, pergaduhan dan jenayah dan larangan itu akan menghasilkan kehidupan keluarga yang lebih baik.
Kula bersetuju dengan ulasan Ramesh tentang bahaya pengambilan arak terutama dalam kalangan masyarakat India.
Katanya, ia membimbangkan apabila melihat remaja yang masih bersekolah meminum arak dan menggesa program diadakan untuk mendidik pelajar tentang bahaya pengambilan minuman itu.
ADUN Perai P Ramasamy berkata, larangan penjualan arak pada lewat malam akan menyebabkan wujudnya aktiviti haram yang mengambil kesempatan daripada larangan itu.
“Gesaan terhadap sekatan ke atas penjualan arak mempunyai implikasi yang dia (Ramesh) tidak faham,” kata Ramasamy, merujuk kepada larangan Kedah terhadap penjualan arak di kawasan kurang permintaan.