
PETALING JAYA: Bekas naib presiden PKR, Tian Chua, menyifatkan tindakan Jawatankuasa Disiplin parti itu membuat pengumuman pemecatannya melalui media tanpa terlebih dahulu diberi maklum sebagai tidak profesional dan sopan.
Katanya, beliau juga kecewa dengan tindakan pemecatan itu kerana sepanjang perjalanan perjuangan lebih dua dekat bersama PKR, dirinya tidak pernah melakukan perkara bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti.
“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan. Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan,” katanya di Facebook.
Mengulas tindakan bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada PRU15 lalu, Tian Chua berkata, sejak dari awal beliau bersedia menerima akibat perbuatan menyertai pilihan raya tanpa restu parti.
Bagaimanapun, Tian Chua menegaskan, tindakan pemecatannya terhadapnya disifatkan “keras” seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi sehingga terbentuknya kerajaan perpaduan diterajui Anwar Ibrahim.
“Walau demikian dalam konteks senario pasca PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihan raya. Bahkan, musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar bekerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan.
“Namun, tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini,” katanya.
Sementara itu, Tian Chua ketika dihubungi FMT, memaklumkan beliau belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan kepada PKR berhubung pemecatannya.
“Saya belum putuskan lagi sama ada nak rayu atau tidak, tapi tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin tidak profesional,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata Tian Chua yang dipecat susulan bertanding di Parlimen Batu sebagai calon bebas pada PRU15, boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.
Tian Chua dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada PRU15 dan pilihan raya negeri Sarawak ke-12 lalu, tanpa persetujuan parti.