
PETALING JAYA: Satu rakam tular yang memaparkan sekumpulan lelaki menceroboh dan memanjat puncak menara Merdeka 118 adalah video lama dan kumpulan berkenaan sudah ditahan polis serta didakwa di mahkamah, kata PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad.
PNB Merdeka Ventures dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada 1 Mei 2022 dan penceroboh terbabit sudah ditahan serta didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial mengenai sekumpulan penceroboh lelaki warga asing yang mendakwa berjaya menawan puncak menara Merdeka 118.
PNB Merdeka Ventures turut menyelar perbuatan haram ini di tapak pembangunan menara tersebut demi meraih keuntungan komersial dan populariti.
“Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami.
“Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya,” katanya lagi.
Baru-baru ini, satu pasangan dari Rusia diburu pihak berkuasa apabila menceroboh dan merakamkan gambar dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia.
Pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.