
PETALING JAYA: Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing akan dilaksanakan bagi sektor atau sub sektor kritikal seperti, perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran sahaja).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata majikan di bawah kelima-lima sektor atau sub sektor itu boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) bawah Modul FWe Approval.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memproses dan memberikan kelulusan permohonan penggajian pekerja asing ini dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima.
“Pengiklanan kekosongan jawatan di Portal MyFutureJobs adalah dikecualikan berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut beliau berkata, majikan yang membuat permohonan melalui Modul FWe Approval dan eQuota sebelum 17 Jan diminta membuat permohonan baru dalam di Modul FWe Approval.
Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut mereka boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran, Kementerian Sumber Manusia di talian 03 8885 2939/2940.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan majikan boleh menggaji tenaga kerja asing dari 15 negara sumber, tanpa perlu melalui pra syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Beliau berkata, melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing itu juga, permohonan majikan terbabit boleh diluluskan dalam tempoh tiga hari.
Katanya, pelan khas itu dipersetujui dengan didorong oleh unjuran keperluan pekerja asing yang diperlukan sektor penggajian pekerja asing ini.