
PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menambah 12 ekor anjing pengesan dalam unit K9, kata Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid.
Hamdan berkata, keputusan itu dibuat selepas unit K9 menunjukkan pencapaian baik dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, Dis lalu.
Katanya, kos untuk seekor anjing pengesan dan pakej pengendali boleh mencapai RM400,000, dan pembelian tersebut telah mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, lapor Bernama.
Menurutnya, ketika ini Unit K9 mempunyai 36 ekor anjing pengesan.
Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya turut memohon pertambahan sebanyak 3,400 kakitangan sebagai antara langkah menambah baik perkhidmatan kebombaan kepada masyarakat.
Menurutnya, pertambahan itu adalah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula jabatan tersebut yang akan dibentangkan kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.
“Kita akan bentangkan kepada kerajaan tiga fasa yang terlibat iaitu aspek kritikal dan penting sebagai fasa pertama, yang kedua dari segi operasi strategik dan seterusnya pengukuhan termasuk pemodenan perkhidmatan,” katanya.
Katanya, pengambilan tersebut juga berasaskan 22 faktor dan kriteria termasuk populasi dalam menentukan sama ada kekuatan anggota mencukupi.