
KOTA KINABALU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diberitahu agar memberikan tumpuan kepada infrastruktur tenaga di Sabah terlebih dahulu sebelum menjenguk peluang perniagaan di Kalimantan, Indonesia.
“Agak keterlaluan bagi TNB untuk mempertimbang melabur di Kalimantan sedangkan ramai rakyat Sabah masih berdepan masalah kestabilan bekalan tenaga,” kata Noridah Samad, jurucakap G6, NGO mewakili masyarakat di enam perkampungan luar bandar di Sabah.
“Adakah TNB cuba sampaikan mereka mempunyai wang untuk dibelanjakan di luar negara, tapi bukan di Sabah?” katanya.
TNB, pemilik 80% Sabah Electricity, berkata pihaknya mengintai peluang membangun dan menyediakan penyelesaian tenaga di ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, di Kalimantan, selain membangunkan infrastruktur transmisi bervoltan tinggi di kawasan itu dengan kerjasama syarikat utiliti tenaga negara terbabit.
Noridah mempertikaikan kenyataan Sabah Electricity bahawa 98% kawasan di Sabah sudah mendapat bekalan elektrik. Katanya, realitinya berbeza dengan apa yang digambarkan.
Rakyat di Pitas, yang berada kira-kira 170km dari Kota Kinabalu, sudah bertahun-tahun mengalami gangguan bekalan tenaga.
“Mereka patut datang dan lihat rumah di sini, mereka akan lihat banyak peralatan elektronik termasuk peti sejuk dan televisyen rosak kerana aliran elektrik berlebihan,” katanya.
Selain itu, kata Noridah, banyak sekolah luar bandar masih bergantung kepada generator diesel untuk bekalan elektrik.
“Sebahagian perkampungan berdekatan sempadan tidak mendapat bekalan elektrik dan NGO kami yang membantu membina infrastruktur hidro mini atau solar di sana,” katanya.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, pengguna Sabah secara purata mengalami 393.32 minit gangguan tenaga tahun lepas, berbanding hanya 44.03 minit di Semenanjung.
Setiausaha Pertubuhan Pengurusan Hutan Komuniti Galus Ahtoi berkata: “Banyak (kawasan) di Penampang dan Papar, yang hanya sejam perjalanan dari Kota Kinabalu, masih tidak mendapat bekalan elektrik.
“Jika kawasan pinggir bandar pun tidak mendapat bekalan elektrik, apa lagi kawasan luar bandar seperti Pensiangan dan Tenom?” katanya sambil menambah, TNB sepatutnya melabur lebih banyak dalam infrastruktur elektrik Sabah.
Impak kepada Sabah
Kenny Chua, pemimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, bimbang sebarang pelaburan TNB di Nusantara akan menjejaskan daya saing Sabah.
“Sebagai syarikat berteraskan keuntungan, difahami TNB mencari peluang untuk berkembang namun (pelaburan di Kalimantan) mungkin memberi kesan besar terhadap Sabah.”
Chua berkata, bekalan elektrik ialah syarat asas untuk menarik pelaburan dan Sabah masih berdepan infrastruktur tenaga yang lemah.
“Apa akan jadi apabila pelabur berduyun-duyun ke Nusantara kerana mereka mempunyai infrastruktur tenaga yang lebih baik? Bagaimana pula impaknya kepada Sabah yang berterusan mengalami gangguan bekalan tenaga?” katanya.