
PETALING JAYA: Pendengaran rayuan tiga rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura kerana sabitan menyeludup dadah ditangguhkan kepada hujung Mac ini.
Pendengaran itu pada mulanya dijadual pada hari ini.
Datchinamurthy Kataiah, Pannir Selvam Pranthaman dan Saminathan Selvaraju antara 12 pesalah yang akan mendengar rayuan mereka.
Kakak Pannir Selvam, Angelia, 29, memberitahu FMT berkata, hakim mahu jabatan penjara dan Pejabat Peguam Negara menjelaskan bagaimana surat menyurat peribadi antara ketiga-tiga pesalah dengan peguam mereka boleh diperoleh Pejabat Peguam Negara.
“Mahkamah juga mahu tahu siapa di pejabat itu yang melihat surat tersebut dan sebagainya,” katanya.
Menurut Angelia, tiada satu pun bukti itu dikemukakan ketika pendengaran awal membabitkan ketiga-tiga pesalah tersebut.
Datchinamurthy, Pannir Selvam dan Saminathan membuat rayuan dengan alasan surat menyurat peribadi kepada peguam dalam beberapa kejadian disalin dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara tanpa pengetahuan atau kebenaran mereka.
Datchinamurthy dijadual menjalani hukuman gantung pada tahun lalu. Bagaimanapun, dia berjaya mendapatkan penangguhan hukuman daripada Mahkamah Tinggi pada saat-saat akhir sementara menunggu keputusan samannya terhadap kerajaan berhubung hukuman itu.
Dia didakwa menyeludup 44.96g diamorphine ke Singapura pada 2011 dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Pannir Selvam didakwa menyeludup heroin ke Singapura pada 2017 dan Saminathan didakwa menyeludup diamorphine bersama dua yang lain pada 2013.
Seorang lagi rakyat Malaysia Gobi Avedian turut disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah tetapi tidak dihukum mati, juga merayu hukuman penjara ke atasnya.