
MELAKA: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih istimewa untuk kebanyakan komuniti Peranakan Melaka yang tinggal di luar negara kerana mereka akan pulang ke kampung halaman bagi meraikan perayaan itu dengan penuh tradisi.
Ahli jawatankuasa Persatuan Peranakan Cina Melaka, Lim Eng Leong, berkata sejak dua tahun lalu ramai keluarga Baba dan Nyonya di luar negara terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina secara dalam talian kerana wabak Covid-19.
“Tahun ini akan menjadi sangat istimewa kerana semua dapat pulang dan berkumpul. Jadi kami semua sangat teruja dan akan menyambutnya dengan sangat meriah,” kata lelaki berusia 51 tahun itu kepada FMT.
Biasanya Tahun Baharu Cina dianggap sebagai permulaan yang ‘bertuah’ untuk kebanyakan mereka yang meraikannya. Bagi komuniti Peranakan, mereka mempunyai tradisi yang berbeza.
Menurut Lim, seminggu sebelum hari pertama Tahun Baharu Cina, ahli keluarga akan berkumpul untuk membersihkan altar nenek moyang dan mengilatkan pasu di mana abu mayat tersimpan.
Kuih bakul juga dipersembahkan kepada Dewa Dapur dan dewa-dewa lain, yang dipercayai akan menyampaikan cerita baik tentang keluarga itu kepada Maharaja Jed di kayangan.

“Kuih bakul ini manis dan melekit. Apabila dipersembahkan kapada Dewa Dapur, dipercayai kesan melekit ini akan melekat pada mulut dewa dan beliau hanya akan menceritakan perkara yang baik sahaja mengenai keluarga anda,” terang Lim.
Satu lagi ritual penting untuk komuniti itu ialah untuk nenek moyang, yang diadakan pada malam Tahun Baharu.
Dikenali sebagai Sembahyang Abu, Lim berkata, ahli keluarga akan berkumpul untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
“Sembahyang Abu sangat penting kerana ketika ini semua orang pulang dan saudara mara berkumpul untuk mengucapkan terima kasih kepada nenek moyang,” katanya.

Waktu itu pelbagai makanan tradisi dimasak untuk dipersembahkan kepada nenek moyang termasuklah pongteh (sup ayam), chap chai (sayur campur), itek tim (sup itik), acar cili (cili jeruk), dan lor bak (daging gulung).
Mengikut tradisi, pada hari pertama Tahun Baharu Cina yang juga dikenali sebagai Sambut Kepala Tahun, nasi yang pertama dimasak pada hari itu perlu diletakkan di atas altar dan dihiasi dengan bunga siantan merah dan daun bawang.
Nasi dalam bentuk kon itu, dengan bunga dan daun bawang, membawa makna “bertumbuh”, kata Lim.
Kerana Tahun Baharu Cina hari untuk bergembira, terdapat beberapa pantang larang seperti tidak boleh bertengkar dan memakai pakaian dengan warna untuk perkabungan seperti hitam.

Mereka juga tidak boleh menyapu sampah pada hari pertama kerana dianggap seperti menyapu keluar tuah, tambahnya.
Namun Lim memberitahu terdapat beberapa amalan yang tidak lagi diteruskan oleh sesetengah keluarga seperti meletakkan tebu di belakang pintu rumah dan mengasap setiap bahagian rumah dengan setanggi sebelum membuka pintu dan tingkap pada waktu pagi.
“Masih ada keluarga yang mengamalkan tradisi lama ini tetapi ia bergantung kepada generasi muda sama ada mereka mahu mengekalkannya atau tidak,” katanya.
Lim berharap budaya dan tradisi Baba dan Nyonya akan terus dipertahankan oleh generasi akan datang.
“Budaya kita adalah siapa kita; di mana kita berada hari ini adalah daripada mana kita datang,” katanya.