
PETALING JAYA: Siapa sangka di sebalik topeng dan kostum singa yang lincah membuat persembahan tarian singa adalah seorang gadis Melayu yang bertudung.
Kemahiran Siti Aishah Mohd Farulnizam, 17, menguasai tarian tradisi masyarakat Cina itu mula mencuri tumpuan warganet, apabila video persembahan dalam sebuah pertandingan tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat pujian orang ramai.
Bagaimanapun, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJK) Sacred Heart di Pulau Pinang itu berkata, perjalanan bergelar penari tarian singa bukan mudah apabila dia juga tidak terlepas daripada kritikan.
“Kritikan itu memang ada sebab tarian singa ini bukan budaya Melayu, contohnya ada yang cakap gendang digunakan diperbuat daripada kulit khinzir, sebenarnya guna kulit lembu atau kerbau sebab lebih tebal.
“Bagi yang kritik itu saya hanya tolak tepi sebab saya memang sudah sangat minat dengan tarian singa ini, jadi saya tahan sahajalah,” katanya kepada FMT.
Menurut Aishah, masyarakat terutamanya orang Islam tidak seharusnya rasa takut atau was-was kerana tarian singa ini tidak melibatkan kepercayaan agama malah ia sudah diiktiraf sebagai satu sukan di negara kita.

“Tarian singa ini tidak ada kaitan dengan agama, lagi pun di Malaysia ia sudah diiktirafkan sebagai satu sukan, jadi tiada penghalang apa pun kalau agama lain atau kaum lain seperti kaum Melayu, ke India nak masuk,” katanya.
Menceritakan mengenai penglibatannya dalam sukan tersebut, gadis dari Pulau Pinang itu berkata, dia menyertai kumpulan tarian singa seawal usia enam tahun lagi selepas melihat abangnya yang juga ahli kumpulan tersebut berlatih.
Selain Aishah, lima lagi adik beradiknya turut aktif dalam kumpulan tersebut.
Mendapat sokongan daripada ibu bapa, Aishah yang juga fasih berbahasa mandarin berjaya membawa kumpulan itu meraih tempat keempat dalam Pertandingan Tarian Singa Peringkat Asia Tenggara pada 4 Jan lalu di Petaling Jaya.
“Saya rasa bangga berjaya dapat tempat keempat, selain berbangsa Melayu, saya antara peserta perempuan yang menang,” katanya.
Tambahnya Aishah, selain menyertai pertandingan dia dan kumpulan dari Persatuan Kebudayaan dan Sukan Mei Hu dari Pulau Pinang turut aktif membuat persembahan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina ini dan turut diundang dalam majlis keramaian.
Sementara itu, pembantu jurulatih, Persatuan Kebudayaan dan Sukan Mei Hu Pulau Pinang, Loh Chin Hoong, 31, berkata, dia turut berbangga dengan kejayaan Aishah dan ini membuktikan seni tarian tradisi kaum Cina sudah mula diterima oleh kaum lain.

Tambah Loh, kehadiran Aishah dan adik beradiknya dalam persatuan yang ditubuh pada 1979 itu sebagai membuka mata kepada masyarakat bahawa tradisi singa bukan terhad kepada kaum Cina sahaja.
“Memang kita akan berasa gembira sebab budaya kita diterima oleh bangsa lain, jadi kita memang terbuka untuk semua kaum atau bangsa sertai persatuan kita,” kata Loh.
Justeru ujar Loh, dengan sokongan yang diterima dia berharap agar peserta kumpulan dapat menjadikan ia sebagai satu inspirasi untuk terus berusaha untuk mendapat pencapaian terbaik dalam pertandingan yang akan datang.
“Kami memang terkejut kerana video Aishah itu tular dan gembira kerana dapat sokongan daripada rakyat Malaysia. Jadi matlamat kami berusaha dengan lebih gigih lagi pada pertandingan akan datang,” katanya.