
PETALING JAYA: Polis meminta bantuan Biro Pusat Nasional (NCB) Moscow, Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejak pasangan Rusia yang menceroboh dan memanjat menara Merdeka 118.
Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata pihaknya membuat permohonan kepada pihak berkuasa itu pada 5 Jan lalu untuk mendapatkan butiran pasangan berkenaan yang dipercayai sudah keluar dari negara ini.
“Setakat ini, kita masih menunggu maklumat dan butiran dari pihak berkuasa Rusia,” katanya menurut Berita Harian.
Menurutnya, sehingga kini seramai 13 individu sudah dirakam percakapan, termasuk kakitangan bangunan terbabit dan pengawal keselamatan.
Katanya, polis juga akan melakukan perbincangan dengan pemilik menara itu dan pemilik bangunan pencakar langit lain untuk mengelak lokasi itu menjadi sasaran individu untuk melakukan aktiviti ekstrem.
Pada Disember lalu, polis memburu pasangan dari Rusia Ivan Beerkus dan Angela Nikolau selepas mereka memuat naik gambar dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Mereka dipercayai menyamar sebagai pekerja sebelum menceroboh dan memanjat menara berkenaan.