
PUTRAJAYA: Sektor perladangan sawit dianggarkan mengalami kekurangan 63,000 tenaga kerja asing yang menyebabkan hasil kelapa sawit terjejas teruk, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, disebabkan itu negara mengalami kehilangan hasil pendapatan dianggarkan berjumlah RM20 bilion tahun lalu.
Fadillah berkata, bagi menyelesaikan isu itu kerajaan setuju memudahkan proses kemasukan pekerja asing dan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) 2.0.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan dengan negara sumber bagi memastikan kemasukan pekerja asing dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Untuk tenaga pekerja asing ini, KDN dan KSM merupakan kementerian peneraju akan pergi ke Indonesia dan Bangladesh untuk berbincang (mengenai pengambilan tenaga asing).
“Di peringkat Malaysia, apa diputuskan di Kabinet ialah untuk memudahkan segala proses,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 bagi tenaga kerja yang berakhir 3 Dis lalu diteruskan selama setahun berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum ini, Pelan Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja yang dilaksanakan hingga 31 Dis lalu menyaksikan pendaftaran 418,649 PATI manakala 295,425 PATI kembali ke negara masing-masing melalui Program Rekalibrasi Pulang.
Dalam pada itu, Fadillah berkata urusan pengambilan tenaga kerja bagi peringkat dalam negara sudah selesai.
Beliau berkata, cuma pada masa ini negara perlu pastikan di peringkat luar yang mengeksport tenaga kerja itu memudahkan proses.
“Kalau pihak eksport tidak memudahkan, ini akan jadi kekangan. Itu yang akan dikendalikan oleh pihak kementerian ini dan KSM,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata dalam sesi pemukiman Jemaah Menteri 15 Jan lalu, semua kementerian diarah menyediakan petunjuk prestasi utama (KPI).
Beliau berkata, KPI itu terbahagi kepada tiga peringkat iaitu bagi jangka masa pendek (100 hari), sederhana (dua tahun) dan panjang (lima tahun).
Dalam perkembangan lain, Fadillah memaklumkan Malaysia akan berbincang dengan Indonesia bulan depan selepas negara itu meletakkan penanda aras sendiri bagi harga minyak sawit mentah (MSM) mereka.
“Ia bagi memastikan tindakan menetapkan harga itu turut memberi manfaat kepada negara,” katanya.