
PETALING JAYA: Peguam mewakili wartawan Pakistan yang hilang Syed Fawad Ali Shah dan isterinya, Syeda menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan lapan defendan.
Menurut peguamnya, saman itu difailkan hari ini.
Saman itu menamakan kerajaan, bekas menteri dalam negeri, Hamzah Zainudin, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, kerajaan Pakistan, wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur Thomas Albrecht, DSP Kanden dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Fawad, 41, yang hidup dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun, dilaporkan hilang sejak 23 Ogos tahun lalu.
Lelaki itu yang memegang kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR, memohon perlindungan suaka politik di Malaysia kerana mendakwa bakal dihukum berhubung beberapa artikel di akhbar berkaitan dakwaan rasuah dalam kerajaan.
Pada awal bulan ini, Saifuddin berkata, Fawad sudah dihantar balik pada Ogos lalu atas permintaan kerajaan Pakistan.
Saifuddin berkata, media di Malaysia menggambarkan Fawad sebagai seorang wartawan tetapi pihak berkuasa Pakistan mendakwa lelaki itu adalah bekas anggota polis berdepan tindakan disiplin.
Syeda yang datang ke Malaysia untuk mencari suaminya, pulang semula ke Pakistan selepas Jabatan Imigresen enggan melanjutkan visanya.