
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus kanan mengaku beliau dipecat oleh AmBank tetapi tidak pasti sama ada ia berpunca kerana mengendalikan akaun Najib Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Saksi pendakwaan Joanna Yu ketika disoal balas oleh peguam Najib, Shafee Abdullah.
Shafee: Adakah kamu dipecat?
Yu: Ya, tetapi tiada surat tunjuk sebab (daripada majikan saya)
Shafee: Adakah (mengendalikan akaun Najib) salah satu sebab kamu dipecat?
Yu: Saya tidak pasti.
Pemecatan Yu dibangkitkan selepas Shafee bertanya kepada saksi itu adakah beliau menghubungi Najib untuk mendapatkan arahan berkenaan kadar tukaran wang asing pada wang dolar Amerika Syarikat yang didepositkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.
Saksi ke-41 pendakwa raya itu juga berkata, beliau tidak mempunyai surat pemecatan itu bersamanya di mahkamah.
Dalam kenyataannya saksinya, Yu graduan ijazah sarjana muda perakaunan berkata, beliau menyertai bank itu pada 1995 dan meninggalkannya pada 2015.
Katanya, jawatan terakhir di AmBank adalah naib presiden eksekutif jabatan perlindungan perbankan peruncitan.
Dalam keterangannya, Yu beberapa kali berkata, surat mandat yang dikeluarkan berkaitan akaun itu tidak memperincikan beliau perlu mendapat arahan secara terus daripada Najib.
Shafee kemudiannya mencadangkan Yu sebaliknya hanya menghubungi pegawai pelaburan 1MDB ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil, pemegang mandat akaun Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (dikenali sebagai Jho Low) untuk arahan berkaitan operasi akaun tersebut.
Yu mengakui kemungkinan Jho Low bertanggungjawab menguruskan kononnya “derma daripada Arab” yang didepositkan ke dalam akaun Najib.
Katanya, beliau juga menerima penerangan Jho Low kepadanya bahawa wang itu adalah satu derma.
Mahkamah diberitahu sebelum ini bahawa keluarga diraja Arab Saudi mahu memberi derma kepada Najib kerana sumbangannya kepada dunia Islam.
Kata Yu, beliau dan ketuanya Ashok Ramamurthy yang ketika itu pengarah urusan kumpulan tidak selesa dengan jumlah wang yang besar didepositkan ke dalam akaun Najib.
Bagaimanapun, bank itu tidak memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia berhubung perkara itu.
“Kami juga tidak memberitahu Najib mengenai wang yang datang dari Arab Saudi,” katanya.
Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
Perbicaraan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.