
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menyerahkan pada polis untuk menyiasat pembantu kepada dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
“Saya serahkan pada budi bicara polis untuk guna mana-mana undang-undang yang mereka rasa patut. Saya tak akan campur tangan,” katanya pada sidang media di sini.
Noor Suhana Ishak, pembantu Ahli Parlimen DAP Bentong Young Syefura Othman, dan setiausaha akhbar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Farhan Iqbal, memberikan keterangan di balai polis Sentul semalam.
Polis turut merampas telefon bimbit mereka, yang menurut kedua-duanya, tidak perlu kerana pihak berkuasa mempunyai semua dokumen yang mereka perlukan.
Noor Suhana dan Farhan disiasat atas fitnah jenayah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian berhubung ciapan mereka di Twitter tentang provokasi yang berlaku pada ceramah Muda di Muar tahun lepas.
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara yang mengkritik siasatan itu, dengan berkata polis sebaliknya perlu menyiasat pihak yang mengganggu ceramah itu.
Ciapan Noor Suhana and Farhan mengaitkan Pemuda Umno dengan insiden provokasi tersebut.
Pada ceramah Muda di Muar Oktober lepas, sekumpulan individu mencetuskan provokasi dan dikatakan membunyikan motosikal mereka, selain memanggil Syed Saddiq penipu.
Dalam video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial, polis dilihat menghalang kumpulan itu daripada terus mara.