
PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kelihatan terus bersikap kental walaupun dipecat parti, malam tadi.
Dalam hantaran ringkas di Instagram, Khairy memberi dorongan kepada Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, yang digantung Umno enam tahun, supaya ‘terus kental’.
“Ini jauh lagi sebelum berakhir,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang juga bekas menteri kesihatan.
Dalam pada itu, Hishammuddin dalam hantaran ringkas di Facebook, berkata “kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita”.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Khairy akan merayu pemecatannya daripada Umno.
Sebelum ini, Khairy menggambarkan dirinya dipecat daripada parti yang disayanginya. Beliau juga ada membuat ciapan menyatakan tidak akan tunduk, patah semangat dan kecewa.
Selainnya, turut dipecat bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, kerana kedua-duanya dikatakan “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang, digantung enam tahun.
Khairy dan Noh merupakan pemimpin yang menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden Umno susulan kekalahan teruk parti itu dan Barisan Nasional, pada PRU15.
Hari ini, Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi, menyifatkan Khairy sebagai “melampau” kerana menjadikan parti seperti kambing hitam kononnya demi meraih undi.
Walaupun tidak pasti mengapa Khairy dipecat, namun katanya, tindakan memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan.