
KUALA LUMPUR: Nilai import makanan tinggi dan isu sekuriti makanan merupakan antara perkara diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ia akan turut menumpukan dalam memperkasa peranan syarikat besar dan industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.
“Ia (syarikat-syarikat besar dan IKS) perlu tumpu dan diberi ruang tingkatkan teknologi dan digitalisasi supaya mampu bersaing dan memberi lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden ACCCIM, Low Kian Chuan.
Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan, berkata pasukannya akan turut meneliti isu alam sekitar dan dasar ekonomi lebih jelas dan segar serta memberi manfaat kepada semua pihak.
“Melihat kepada kedudukan semasa, pasca-Covid-19, kemelesetan ekonomi di Eropah, kesan perang Ukraine-Rusia yang menuntut kita untuk lebih berani memperkenalkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua cadangan dikemukakan pihak berkepentingan termasuk ACCCIM akan diteliti dan diberi perhatian bagi membantu pembentangan belanjawan berkenaan.
“Memorandum (dari ACCCIM) yang cukup tebal, banyak isu dibangkitkan. Tetapi membantu kita sebenarnya, dalam dialog yang diadakan baru-baru ini juga kita ambil kira beberapa pandangan dan insya-Allah dalam pembentangan Belanjawan (2023) hal ini akan diberi perhatian, ” katanya.
Anwar dijangka membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen, pada 24 Feb.