
KUALA LUMPUR: Mereka yang dipecat Umno tidak akan dijemput menyertai DAP kerana tidak perlu untuk bertindak secara “terburu-buru”, kata Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.
Loke berkata tidak perlu untuk membuat sebarang jemputan terbuka kepada mereka kerana ia terpulang kepada individu terbabit untuk menentukan langkah seterusnya dalam kerjaya politik mereka.
“Saya pasti mereka tahu apa keputusan yang terbaik,” katanya kepada wartawan di sebuah majlis sambutan Tahun Baru Cina di sini.
“Jika ada yang ingin membuat permohonan, setiap pihak akan mempertimbangkannya. Kami tidak mahu mendahului apa-apa.”
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar adalah dua pemimpin yang dipecat oleh parti mereka malam tadi kerana melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.
Ketika ditanya adakah dengan pemecatan Khairy dan Noh akan menjejaskan pembahagian kerusi antara parti dalam kerajaan perpaduan untuk pilihan raya negeri akan datang, Loke berkata, pihaknya akan memfokuskan pada pentadbiran dan melaksanakan dasar serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
“Ini adalah fokus kita supaya kita boleh terus dapat sokongan rakyat termasuk dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Jadi sebarang isu dalaman parti lain, biarlah pemimpin parti itu sendiri menguruskannya,” katanya.
Tambahnya, terpulanglah kepada Khairy untuk menentukan hala tuju karier politiknya selepas ini.