
KUALA LUMPUR: Polis menahan 904 individu di seluruh negara menerusi Op Limau kerana disyaki terlibat dalam perjudian dengan jumlah rampasan dianggar bernilai RM513,793.
Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata semua tangkapan itu membabitkan 137 serbuan bagi tempoh 15 hingga 29 Jan lepas.
Beliau berkata, daripada 904 individu ditahan, 650 melibatkan judi dalam bangunan manakala 254 membabitkan kegiatan judi di luar bangunan.
“Op Limau ini dijalankan selama 15 hari di seluruh negara bagi mengekang kegiatan perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka sempena Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dibuat bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Noorsiah berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan dalam usaha menangani kegiatan perjudian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016 5773477.