
PETALING JAYA: Sebuah persatuan pengguna mendakwa harga beberapa jenis sayur melonjak lebih 160% dalam tempoh sebulan lalu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata harga sayuran perlu diselaraskan supaya rakyat tidak terbeban.
“CAP menggesa bahagian penguatkuasaan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup menyiasat peningkatan harga ini kerana mereka yang berpendapatan sederhana akan terjejas teruk,” kata Presidennya Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan.
Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga dengan melampau dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010.
“CAP juga telah berulang kali menggesa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil kawalan terhadap pemasaran dan pengagihan sayuran di negara ini bagi menghapuskan pencatutan oleh orang tengah, namun tidak diendahkan.”
Menurut CAP, harga bendi meningkat 166% dari RM6 sekilo bulan lalu menjadi RM16 sekilo bulan ini. Kacang panjang turut melihat penggandaan harga daripada RM6 sekilo kepada RM12 sekilo; tomato dari RM4.50 sekilo menjadi RM10 sekilo (peningkatan 120%); manakala terung dari RM7 sekilo kepada RM12 sekilo (peningkatan 71%).
CAP berkata, beberapa peruncit, pengedar dan pemborong telah memberi amaran bahawa harga sayuran lain mungkin naik dalam beberapa minggu lagi.
Persatuan Pemborong Sayur-sayuran Kuala Lumpur dan Persekutuan Persatuan-persatuan Peladang Sayur Malaysia turut mengesahkan kenaikan harga berkenaan kepada FMT.