
PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Selangor sedang menyiasat dakwaan bahawa kakitangan Hospital Serdang telah mengabaikan seorang pesakit yang mengalami serangan jantung, membawa kepada kematiannya.
Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya dan Hospital Serdang sedang menjalankan “siasatan terperinci” berhubung kes yang melibatkan seorang pesakit berusia 64 tahun itu.
Bagaimanapun, dalam kenyataan sama, Sha’ari mempertahankan kakitangan hospital tersebut.
Beliau berkata, pesakit terbabit tiba di Jabatan Kecemasan hospital pada 26 Jan kerana komplikasi jantung dan diberi rawatan yang diperlukan. Pesakit itu kemudiannya dirujuk kepada Jabatan Kardiologi untuk rawatan lanjut.
“(Pesakit) terus ditempatkan di Wad Kecemasan namun bawah pemantauan Jabatan Kardiologi sehinggalah kemudiannya dapat dipindahkan ke Wad Kardiologi selepas terdapat kekosongan katil,” katanya.
“Semasa berada di Wad Kardiologi, pemeriksaan, pemantauan serta rawatan berkaitan diteruskan oleh pasukan Jabatan Kardiologi. Penerangan kepada pesakit dan keluarga telah dibuat oleh pakar perubatan yang merawat pesakit.”
Beliau berkata, pesakit itu kemudian dijadualkan menjalani prosedur jantung tetapi tidak diteruskan disebabkan keadaannya pada masa itu.
“Pada hari yang sama, keadaan kesihatan pesakit merudum secara tiba-tiba ketika dirawat,” tambahnya.
Sha’ari berkata, pasukan kardiologi kemudian cuba menyelamatkan pesakit tersebut melalui resusitasi, namun gagal.
Beliau menegaskan bahawa Jabatan Kecemasan dan Kardiologi Hospital Serdang melakukan sehabis baik untuk pesakit itu, walaupun bilangan pesakit sangat ramai di hospital ketika itu.
“Hospital Serdang kekal komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya.
Sha’ari menambah, pihak hospital akan berhubung dengan keluarga pesakit itu untuk perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
Pada 26 Jan, pengguna Twitter @SamuelManokaran berkata, bapanya mengalami serangan jantung dan dirawat di Hospital Serdang.
Beliau mendakwa bapanya dibawa ke hospital pada 4.30 pagi tetapi masih belum dimasukkan ke wad selepas 17 jam kerana tiada katil.
Pada 31 Jan, beliau memaklumkan dalam ciapan lain bahawa bapanya telah meninggal dunia pada malam sebelumnya, dan mendakwa ini berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital.