
PETALING JAYA: Bersatu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas akaun parti itu dibekukan.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata, beliau kecewa dengan tindakan kerajaan dan mendakwa ia bertujuan membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Bersatu juga mengarahkan pemimpin dan pegawai parti itu yang diminta memberi keterangan kepada SPRM untuk memberi kerjasama sepenuhnya.
“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan.
Beliau merujuk siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana RM92.5 bilion oleh pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.
Hamzah juga mendakwa langkah membekukan akaun parti itu bertujuan memesongkan perhatian rakyat terhadap “kelemahan, kegagalan dan amalan nepotisme” kerajaan Anwar Ibrahim
Beliau juga menegaskan bahawa Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik, dan meminta semua pemimpin dan ahli parti bertenang.
Awal hari ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, akaun Bersatu dibekukan agensi antirasuah itu lebih dua minggu lalu.
Azam ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan SPRM masih berterusan dan saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Sebelum itu, sumber dalaman Bersatu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun-akaun Bersatu.
Sumber yang enggan namanya didedahkan itu berkata, akaun-akaun terbabit dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Difahamkan bahawa pembekuan akaun Bersatu itu berkaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit yang dimaksudkan untuk pakej rangsangan Covid-19.