
PETALING JAYA: Tiada unsur hasutan dalam artikel New Straits Times (NST) dan Berita Harian berhubung sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), kata polis selepas satu laporan dibuat terhadap dua artikel itu.
Artikel dalam NST yang disiarkan pada 18 Jan lalu bertajuk “SJKC pupils not keen to learn BM”, manakala artikel Berita Harian yang bertajuk “Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?” lebih bersifat spekulatif.
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati tajuk artikel itu mempunyai kecenderungan untuk memberi persepsi yang mungkin menimbulkan kegusaran awam.
“Namun, kandungan artikel tersebut tidak mempunyai sebarang pernyataan yang berunsurkan hasutan atau membangkitkan kemarahan mana-mana kaum,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan laporan polis dibuat pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia pada 21 Jan lalu.
“Menurut pengadu, artikel tersebut memberikan tanggapan buruk kepada pelajar sekolah Cina ekoran komen yang dikemukakan orang awam dalam laman sesawang akhbar tersebut.
“Pengadu menyatakan segala kenyataan yang dikeluarkan akhbar tersebut tidak benar dan menimbulkan salah faham serta ketidakharmonian antara kaum Cina dan lain-lain kaum.”