
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,910 kes demam denggi dilaporkan dari 22 hingga 28 Jan berbanding 2,319 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 409 kes atau 17.6% dengan satu kematian dicatatkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini sebanyak 8,968 kes berbanding 2,948 kes bagi tempoh sama 2022, iaitu peningkatan sebanyak 6,020 kes atau 204.2%.
“Sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh sama pada 2022,” katanya dalam kenyataan.
Noor Hisham berkata, 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 80 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya, dengan 51 lokaliti hotspot terletak di Selangor; 14 lokaliti hotspot di Kuala Lumpur dan Putrajaya; 12 lokaliti hotspot di Sabah dan dua lokaliti hotspot di Pulau Pinang.
Beliau berkata, survelan chikungunya merekodkan lima kes pada minggu keempat, dengan tiga kes di Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Kedah serta Selangor.
Katanya, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 52.
Bagi survelan zika, katanya, 169 sampel darah dan satu sampel urin menjalani saringan zika dengan semua hasilnya negatif.
Mengenai pelbagai sambutan perayaan yang akan disambut, Noor Hisham mengingatkan kemungkinan kelengkapan dan peralatan yang digunakan semasa musim perayaan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, jika tidak diuruskan dengan baik.
“Oleh itu, pastikan kebersihan tempat upacara dan sambutan dijaga dengan baik. Lupuskan barang yang rosak serta tidak digunakan di tempat kitar semula atau tempat pelupusan yang disediakan. Lakukan semburan aerosol sebelum melakukan aktiviti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai memakai pakaian berwarna cerah serta menutup anggota badan semasa melakukan aktiviti di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes dari 6 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam.
“Gunakan bahan pencegah nyamuk pada anggota badan terdedah. Cegah denggi sebelum terkena. Selamat menyambut perayaan Thaipusam dan Cap Goh Mei,” katanya.