
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penipuan membabitkan pemalsuan lesen kenderaan yang masih berleluasa di media sosial hingga kini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M Janagarajan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih dikenali “lesen terbang”.
“Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.
“Sekiranya pengguna dapat lesen sedemikian, mereka tidak memperoleh lesen betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur di sini.
Turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan, Mohd Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.
Janagarajan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.
“Modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan lesen itu sah, tetapi sebenarnya lesen itu tidak sah.
“Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.
Beliau berkata. pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta polis, selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.
“Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya.