
AMPANG: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli menggesa Perikatan Nasional (PN) berbincang dengan kerajaan dan menjadi pembangkang progresif sebelum meminta peruntukan pembangunan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.
“Hal ini harus dibincangkan terlebih dahulu, tetapi jika kita lihat kerajaan terdahulu, pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang mesti membabitkan komitmen untuk memastikan pentadbiran dan agenda kerajaan tidak diganggu,” katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kawasan Parlimen Pandan.
Timbalan presiden PKR itu berkata, memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob sebelum ini meminta kedua-dua pihak bersetuju dengan beberapa perkara.
“Sehingga sekarang, pembangkang belum meredakan isu perkauman yang dimainkan mereka. Mereka harus berfungsi dalam cara lebih sihat. Mereka belum buat apa-apa, tetapi pada masa sama meminta semuanya diberikan kepada mereka.”
Katanya, pembangkang harus menerima keadaan kewangan semasa yang ditinggalkan mereka ketika menjadi sebahagian kerajaan terdahulu.
“Jika kita lihat keadaan kewangan semasa, semuanya harus diambil kira. Saya pasti rakyat tidak akan berpuas hati jika peruntukan untuk sekolah dipotong bagi memberi elaun sama rata kepada semua Ahli Parlimen.”
Kelmarin, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta, tetapi kerajaan akan mempertimbangkan penambahan dana jika terdapat keperluan mendesak di kawasan tertentu.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada Sabtu mengingatkan Anwar supaya mengagihkan peruntukan pembangunan sama rata kepada semua Ahli Parlimen merentasi parti politik.
Pelantikan babit ahli keluarga
Rafizi berkata, kerajaan perlu mengelak pelantikan membabitkan ahli keluarga pada masa depan yang boleh menimbulkan kontroversi.
Katanya, pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri serta Iqbal sebagai pembantu bapanya yang juga Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, tidak membabitkan dana awam.
“Apa yang kita harapkan sekarang ialah kedua-duanya membuktikan mereka boleh membawa nilai tambah dalam peranan masing-masing,” katanya sambil menambah ramai pihak berpendapatan pelantikan itu sepatutnya dielakkan.
Pelantikan Nurul Izzah dikritik pelbagai pihak dengan ada yang menggesa ia dibatalkan, tetapi Anwar menegaskan ia bukan nepotisme, manakala Johari menepis dakwaan nepotisme dan mengulangi anaknya mempunyai kelayakan serta pengalaman untuk menjadi pembantunya.