
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik mempertikai sejauh mana Khairy Jamaluddin mampu meraih sokongan pengundi Melayu muda kerana berpendapat bekas ketua pemuda Umno itu hanya disokong golongan belia di kawasan bandar atau separa bandar.
Penasihat Utama Pusat Penyelidikan Pasifik, Oh Ei Sun, berkata golongan Melayu muda bandar dianggap progresif berbanding rakan mereka di luar bandar yang lebih konservatif.
Oh mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, bahawa parti itu kehilangan “magnet” yang menarik sokongan orang muda dengan pemecatan Khairy.
Katanya, Khairy mendapat sokongan kukuh daripada belia progresif bandar dan bukannya majoriti kumpulan itu di luar bandar yang lebih konservatif dan mendominasi “gelombang hijau”.
Oh berkata pengundi Melayu luar bandar cenderung mahukan pemimpin yang menonjolkan diri seperti “pendakwah”, contohnya Nik Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS, seperti dapat dilihat dengan “gelombang hijau” di Pantai Timur Semenanjung.
Menurutnya, untuk berjaya, Khairy memerlukan sokongan pengundi muda Melayu luar bandar yang lebih berkemungkinan keluar mengundi, tidak seperti mereka di kawasan bandar dan separa bandar.
Komitmen terhadap mengundi inilah menjadikan belia Melayu luar bandar penting untuk parti berasaskan Melayu. Ini juga antara sebab parti seperti PAS yakin mampu meraih kemenangan pada PRN akan datang, katanya.
“Belia bandar mungkin lebih ramai, tetapi mereka tidak benar-benar keluar mengundi seperti rakan luar bandar yang boleh digerakkan dengan lebih mudah oleh PAS.”
Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata Umno memiliki pemimpin muda lain yang mampu menjadi “magnet” pengundi muda seperti Ketua Penerangan Isham Jalil dan Akmal Saleh, antara lain.
Katanya, Khairy gagal meraih sokongan mencukupi walaupun pernah menjadi ketua Pemuda Umno.
“Jadi kenyataan Ismail bahawa Khairy mampu menjadi ‘magnet’ menarik sokongan muda tidak benar, kerana golongan itu tidak menyokong Umno ketika itu walaupun beliau rapat dengan mereka.”
Awang Azman berkata, ahli Umno yang muda perlu menonjolkan imej parti yang “progresif dan sederhana” kepada umum, selain meningkatkan usaha media sosial Umno sekiranya mahu dikenali dalam kalangan belia dan menarik ahli muda.