
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank mengakui ahli perniagaan dalam buruan Jho Low mungkin mengaburi mata Najib Razak, walaupun sebelum ini berulang kali menegaskan bekas perdana menteri itu tahu mengenai transaksi dalam akaun-akaun banknya
Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu berkata, dia tidak terfikir sesiapa akan menggunakan akaun bank perdana menteri untuk penggubahan wang.
Yu memberi keterangan pada perbicaraan rasuah 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau berkata, tiga akaun Najib dengan AmBank dipantau oleh jabatan pematuhan, dengan Bank Negara (BNM) dimaklumkan sewajarnya mengenai transaksi.
“Akaun itu (telah) diketahui oleh semua orang,” katanya.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Shafee Abdullah, Yu mengakui bahawa pada 2014, sejumlah besar deposit iaitu berjumlah £50 juta telah dibuat.
Beliau berkata, ini telah diatur oleh Jho Low bagi mengelak sebarang kemungkinan yang akan timbul jika urus niaga itu dibuat dalam dolar Amerika (AS).
Menjelaskan teks Blackberry Messenger (BBM) yang dihantarnya kepada Jho Low, Yu berkata, dia memberitahu ahli perniagaan buruan itu bahawa bank koresponden AmBank, Wells Fargo, biasanya akan meminta AmBank mendedahkan kepada mereka identiti penerima kiriman wang jumlah besar yang dibuat dalam dolar AS.
“Jho bertegas bahawa akaun PM mesti dijaga kerahsiannya. Saya mencadangkan kepadanya supaya (meletakkan deposit) dalam pound sterling,” kata Yu.
Di sebalik permintaan untuk kerahsiaan, Yu berkata, bank masih bertanggungjawab untuk melaporkan transaksi kepada bank pusat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.