
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim dijangka hadir di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, malam ini bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Perdana menteri dijadualkan hadir kira-kira 8.30 malam ini, menurut jurucakap sekretariat yang dihubungi Berita Harian.
Mesyuarat tersebut juga akan dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan tokoh penting lain daripada Barisan Nasional (BN); serta pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Warisan.
Pada perhimpunan agung Umno lalu, Zahid mengumumkan penubuhan sekretariat itu yang ditubuhkan bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan dan diketuai Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut Zahid, sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan kerajaan perpaduan, dan dari semasa ke semasa akan membincangkan perjalanan kerajaan dan langkah ke hadapan, termasuk berhubung kerjasama politik.
Anwar dipecat daripada Umno pada 3 Sept 1998, selepas dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu atas dakwaan rasuah dan liwat.