
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menghalang Shafee Abdullah terus bertanya soalan yang mencadangkan bahawa seorang saksi pendakwaan terlibat dalam hubungan peribadi yang intim dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Ini berikutan bantahan dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan, yang menyatakan soalan Shafee menyentuh kehidupan peribadi bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu.
Shafee sebelum itu mempersoalkan mengapa Yu bertemu dengan Low di pangsapurinya pada lewat malam.
Yu memberitahu mahkamah, dia perlu berjumpa Low berhubung hal berkaitan kerja kerana ahli perniagaan itu hanya mempunyai masa lapang pada waktu malam.
Dia juga menegaskan bahawa individu lain, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pengarah eksekutif 1MDB ketika itu, Geh Choh Heng, turut hadir pada pertemuan itu.
Katanya, dia tidak pernah berjumpa Low atas sebab peribadi.
Mendengar keterangan bahawa Yu sudah berkahwin, Shafee bertanya sama ada suami wanita itu “tidak kisah” dia keluar lewat malam untuk bertemu Low.
“Tidak wajar untuk bertanya soalan ini kepadanya,” kata Deepa.
Shafee kemudian menjelaskan pihak pembelaan mahu menunjukkan kepada mahkamah bahawa Yu dan Low mempunyai “hubungan tidak wajar”, seperti yang ditunjukkan oleh pertemuan lewat malam mereka.
“Jangan teruskan lebih daripada itu,” kata Hakim Collin Lawrence Sequerah kepada Shafee.
Jho Low dirujuk sebagai ‘bos’
Yu memberikan keterangan bahawa Low lazimnya dirujuk sebagai “bos” oleh pengarah pelaburan 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, yang diberi mandat oleh Najib untuk menguruskan akaunnya dengan AmBank.
Katanya, dalam salah satu pesanan teksnya, dia bertanya kepada Nik Faisal: “Adakah anda bersama bos?”, merujuk kepada Low.
Cek RM5 juta untuk Umno
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Yu berkata beliau dan Low membincangkan cek RM5 juta yang akan dikeluarkan Najib pada Ogos 2014.
“(Low) memaklumkan kepada saya akan ada cek RM5 juta yang dikeluarkan kepada Umno, dan saya menjawab pada 1 pagi bahawa saya akan membuat persiapan (pada keesokan pagi) untuk memastikan akaun itu mempunyai wang yang mencukupi,” katanya.
Akram: Wang yang dibayar untuk siapa?
Yu: Umno.
Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.