
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai AmBank hari ini menyifatkan empat tahun menguruskan akaun bank Najib Razak sebagai sesuatu yang menyebabkan “tekanan”.
Bekas Pengurus Perhubungan Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi, AmBank dianggap perlu menerima semua cek yang dikeluarkan melalui akaun berkenaan, walaupun pengeluaran berlebihan telah dibuat.
“Keadaan kian menekan dan mencabar semakin masa berlalu. Kami bimbang apabila pengeluaran dilakukan secara berlebihan, dan merasa tekanan supaya memastikan cek tidak ‘ditendang’.
“Ini akaun perdana menteri, dan kami tidak boleh mempertaruhkan reputasinya jika cek ditendang. Nanti apa pula kesannya kepada bank?” katanya dalam perbicaraan 1MDB.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, Najib memiliki lima akaun dengan AmBank antara 2011 hingga 2015.
Akaun simpanan yang berakhir dengan “481” dan akaun semasa berakhir dengan “694” telah dibuka pada 13 Jan 2011. Kedua-duanya ditutup pada 26 Ogos 2013.
Tiga akaun lain berakhir dengan “880”, “906” dan “898”, kemudiannya dibuka pada 31 Julai 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.

Yu memberitahu mahkamah dia terkejut apabila ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) pertama kali memaklumkannya pada 2011 bahawa Najib mahu membuka akaun di AmBank.
Ditanya sama ada beliau mungkin merasai tekanan sama jika pengeluaran berlebihan berlaku bagi akaun pelanggan perbankan korporat atau peribadi Yu berkata: “Cawangan kami mempunyai protokol (dalam keadaan itu).
“Saya percaya cawangan akan menutup akaun jika berlaku lebih daripada dua kali.”
Bagaimanapun, Yu berkata “peraturan berbeza” terpakai dalam akaun Najib. Katanya, pihak bank dianggap memberikan sedikit “kelonggaran” jika berlaku pengeluaran berlebihan, memandangkan dia adalah perdana menteri ketika itu.
Yu berkata, beliau tidak maklum mengenai dakwaan bahawa beberapa cek itu tidak dikeluarkan oleh Najib.
“Ia perlu ditandatangani pemegang akaun (Najib),” katanya.
Beliau juga berkata, tiada cek pernah dikeluarkan melalui akaun Najib kepada Low.
Najib menghadapi 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 9 Feb.