
SEPANG: Selepas 55 hari tragedi tanah runtuh di Batang Kali, anjing Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Denti dan Frankie, semalam diterbangkan ke Turki untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi.
Turut diterbangkan bersama mereka adalah bola tenis, yang akan diberi sebagai ganjaran jika usaha mereka di lokasi SAR berhasil, kata pengendali Denti, Tony Albert Mani.
“Kita ada bawa ‘reward’ ke sana. Ya betul, ia berupa bola tenis. Kita akan beri ‘reward’ tersebut dekat pangkalan kita lepas sesi SAR selesai,” ujarnya.

Menurut Tony, sebaik bencana gempa bumi dilaporkan di selatan Turki serta utara Syria pada Isnin lalu, unit K9 dipersiapkan dengan menjalani latihan yang lebih ketat.
Selain Denti dan Frankie, unit K9 turut dianggotai Blake, Groose, Pop dan Lady – yang begitu popular ketika misi SAR tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, pada 16 Dis lalu.
“Kita buat macam biasa tapi kita tingkatkan dan tekankan (latihan) untuk pengesanan. Berkemungkinan operasi kali ini lama. (Mungkin) lebih lama daripada SAR Batang Kali,” katanya.
Malaysia turut menghantar 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota bomba, dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Terdahulu, seramai 75 orang anggota SMART dihantar ke Turki, pada Isnin.
Media melaporkan hampir 6,000 bangunan di negara itu musnah dan setakat awal pagi Rabu dilaporkan angka korban mencecah 9,500 orang.
Gempa bumi di Turki bermagnitud 7.7 melanda wilayah Kahramanmaras, diikuti gempa susulan bermagnitud 7.6 yang menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Sementara itu, pengendali Frankie, Thivagaran Yutaman, berkata dua ekor anjing itu akan dipantau dan kedua-duanya tidak akan dibiarkan keletihan sepanjang misi SAR berlangsung.
“Kita tak akan bagi dia penat. Kena tengok keadaan cuaca di sana macam mana. Mungkin kita buat dalam 15 minit (kerja mengesan). Kalau di sini (Malaysia) boleh setengah jam, mungkin tempat (Turki) sejuk jadi kita buat dalam 15 minit atau 10 minit dan bagi dia rehat”.

Ketua Unit K9 Donny Chap memberitahu FMT, bomba menyediakan empat ekor anjing pengesan untuk diterbangkan ke Turki.
“Setakat ini kita hantar dua ekor dulu sebab kuota hanya untuk dua ekor, jadi kita ikut arahan terkini. Jika ada keperluan kita hantar lagi dua ekor,” ujarnya ketika mengiringi anggota pasukannya berlepas ke Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Katanya, pelbagai kemudahan disediakan untuk Denti dan Frankie bagi memastikan kedua-duanya boleh bekerja dengan baik dan membantu misi SAR semaksima mungkin.
“Dari segi makanan, ubat-ubatan, PPE, sangkar, selimut, tilam semua kita bawa sekali sebab di sana cuaca dia sejuk. Kita takut anjing ini tak boleh sesuaikan diri jadi kita bantu dengan PPE, selimut dan tilam dia,” katanya.
SMART merupakan pasukan khas mencari dan menyelamat yang ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara Malaysia, dengan anggota daripada bomba, polis, dan tentera.