
PETALING JAYA: Pencinta alam dan aktivis menggesa pihak berkuasa segera mendedahkan laporan rasmi mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 31 nyawa hampir dua bulan lalu.
Mereka turut menggesa kerajaan mendedahkan langkah-langkah yang akan diambil untuk mengelak kejadian seperti itu berulang.
Presiden Persatuan Ekopelancongan & Pemuliharaan Malaysia, Andrew Sebastian, menyifatkan kelewatan mendedahkan laporan rasmi itu sebagai respons kerajaan yang tipikal seperti dalam kejadian lain di masa lalu, di mana maklumat dan pelan tindakan “lambat” atau “langsung tiada”.
Katanya, forum awam terdiri daripada pakar bebas boleh diadakan untuk mendapatkan cadangan sekiranya pihak berkuasa buntu.
“Telah sekian lama tiada tindakan dalam isu pemuliharaan dan perlindungan lereng bukit, hutan, dan kawasan tadahan air.
“Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tanggungjawab dan bukan sekadar menanti tragedi berlaku lagi,” katanya kepada FMT.
Ahli akademik, Kua Kia Soong, mahukan penjelasan bagaimana kawasan lereng yang curam di Batang Kali itu boleh ditarah, selain sama ada langkah-langkah diambil bagi melindungi kawasan itu ketika jalan dibina di situ.
Beliau turut membangkitkan sama ada wujud elemen kecuaian atau rasuah termasuk melibatkan ahli politik dan pemaju.
Katanya, peraturan berkaitan pembangunan lereng bukit perlu diperbaharui, selain syarat penilaian impak alam sekitar (EIA) diperketatkan.
Kua turut menggesa suruhanjaya siasatan diraja menyiasat kejadian di Batang Kali itu memandangkan jumlah kematian yang tinggi.
Aktivis alam sekitar, Anthony Tan, berkata pihak berkuasa perlu mendokumenkan tragedi itu dari sudut pandang mangsa terselamat, waris, anggota penyelamat, dan agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat.
Seramai 31 mangsa termasuk 13 kanak-kanak maut dalam tanah runtuh pada 16 Disember lalu itu.
Dapatan awal Kementerian Kerja Raya menunjukkan rekahan akibat tekanan di sepanjang jalan di atas lereng bukit serta aliran air bawah tanah di tapak perkhemahan berkemungkinan menjadi punca kejadian.
Bulan lalu, kerajaan berkata laporan penuh kejadian itu masih dalam proses disiapkan.