
KUALA LUMPUR: Inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah sejak hujung bulan lepas tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, berkata ia sepenuhnya komitmen peniaga yang secara sukarela menyertainya.
Beliau berkata Menu Rahmah sejak dilancarkan mendapat sambutan baik di seluruh negara dengan ramai peniaga menyahut aspirasi kerajaan dalam membantu mereka yang memerlukan terutama golongan B40.
“Ramai golongan peniaga berlumba-lumba menyertai inisiatif ini dengan menawarkan juadah serendah RM5 di premis mereka. Ini maknanya mereka mahu bersama melakukannya dengan semangat kebajikan tanpa paksaan sesiapa.
“Jadi konsepnya di sini jelas, tiada libat satu sen pun duit kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan inisiatif Menu Rahmah oleh Persatuan Pengusaha Tom Yam Malaysia (Pertom) di Lembah Keramat.
Salahuddin berkata kementerian tidak memaksa perniagaan, pengusaha, dan pemain industri makanan baik besar mahupun kecil menyertai inisiatif Menu Rahmah.
“Kita tidak paksa, sebaliknya ia adalah satu libat urus dengan industri antaranya Mydin (Mydin Mohamed Holdings Berhad), Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia, Pertom, dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia.
“Selepas sesi libat urus ini barulah kita kemukakan idea Menu Rahmah ini dengan sasaran pembeli ialah mereka yang memerlukan juadah harian pada harga mampu,” katanya.
Sementara itu, kementerian sedang membangunkan aplikasi yang mengandungi direktori premis makanan yang menawarkan Menu Rahmah.
Ia bagi memastikan rakyat mempunyai maklumat tentang peniaga yang menyertai inisiatif itu di kawasan mereka, selain mempromosikan premis yang menawarkan Menu Rahmah.
Pada 31 Jan lepas, Salahuddin melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan sebanyak 15,000 premis menjual makanan menyertai usaha berkenaan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.