
SEPANG: Anjing pengesan (K9) pasukan penyelamat negara MAS-01 Smart, Frankie sekali lagi menunjukkan khidmat cemerlangnya di Turki selepas membantu pasukan itu mengesan lima mangsa gempa bumi yang masih hidup di bawah runtuhan.
Mangsa terdiri daripada dua wanita, seorang lelaki dewasa serta masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan itu berjaya diselamatkan selepas terperangkap kira-kira 129 jam.

Menceritakan pengalaman itu, pengendali Frankie, Thivagaran Yutaman, 45, berkata mangsa terbabit berjaya dikesan anjing itu selepas menemukan satu mayat mangsa di kawasan berkenaan.
Katanya, pencarian mereka kemudiannya membawa kepada penemuan sebuah lubang terletak kira-kira lima hingga 10 meter dari situ sebelum mangsa lain ditemui.
“Frankie jumpa mangsa mati, di sebelahnya ada satu lubang, (pasukan) Smart suluh (lampu picit) ke dalam lubang itu dan nampak mata (mangsa). Jadi kita kesan ada seorang mangsa lepas itu (pasukan) Smart turun lagi ke bawah dan jumpa lima (mangsa hidup) yang lain,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Turki, semalam.
Dia antara kumpulan pertama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turki yang pulang ke tanah air tengah hari semalam selepas menyelesaikan misi mereka.

Ketibaan penerbangan yang membawa 30 anggota penyelamat dan tiga wartawan itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali.
Selain itu, Thivagaran berkata kebajikan Frankie dan seekor lagi anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) iaitu Denti dijaga rapi sehinggakan tiada satu kecederaan pun dialami.
“Kita ada bawa pemanas untuk panaskan badan anjing ini, kita (pegawai pengendali) selamba saja duduk tepi api. Tapi anjing kita kena jaga betul-betul, lebih-lebih lagi di tempat yang sejuk,” katanya.
Bagaimanapun, Denti dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebaik tiba di Turki.

Menurut pegawai pengendalinya, Tony Albert Mani, 29, anjing terbabit mengalami batuk akibat perubahan cuaca namun tetap cemerlang dalam menjalankan tugasnya.
“Dia tak demam, cuma batuk-batuk sikit. Ia hanya penyesuaian cuaca kat sana. Dari sini (Malaysia) panas ke sana (tiba-tiba) sejuk. Dia batuk sehari sahaja dan dia memang boleh bekerja, dia memang tak ada berhenti kerja. Kerja seperti biasa,” jelas anak kelahiran Sarawak itu.
Jelasnya, sebelum Frankie dan Denti dibawa masuk ke satu-satu kawasan, pegawai bomba K9 yang lain akan membuat tinjauan dan memastikan semuanya dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin, berkata lebih banyak peralatan dan kelengkapan jabatannya akan ditambah baik termasuk penambahan 12 lagi anjing pengesan baharu susulan kejayaan pasukan K9 dalam misi SAR sebelum ini.
“Berdasarkan maklumat jabatan, ada anjing-anjing pengesan yang kita perlu buat penggantian dan penambahan. Kita ada membuat permohonan dan dikatakan sudah diluluskan (penambahan) 12 ekor anjing K9 dalam tiga disiplin.
“Sejak kebelakangan ini kita banyak terlibat dengan operasi SAR, seperti tahun lalu (terlibat dengan kejadian) tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang memakan masa sembilan hari. Kali ini diteruskan dengan operasi besar di Turki,” katanya.