
PETALING JAYA: Peruntukan RM100,000 untuk setiap daerah bagi penurapan jalan berlubang tidak mencukupi, kata seorang aktivis jalan raya.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi yang lebih dikenali sebagai Lando, berkata kos membaik pulih infrastruktur jalan persekutuan, terutama di kawasan luar bandar, memerlukan lebih daripada jumlah itu bagi mendapatkan hasil berkualiti.
“Peruntukan RM2.7 bilion selenggara jalan, tetapi kenapa hanya RM100,000 diperuntukkan kepada jurutera daerah. Selepas itu, persoalannya adakah ia untuk setiap tahun atau lima tahun sekali?
“Bagaimana dengan daerah besar seperti Petaling, Kuala Selangor dan Tanjong Karang, adakah mencukupi?” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, di mana kerajaan akan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.
Sebanyak RM1.5 bilion juga diperuntukkan bagi menaik taraf dan membina jalan perhubungan desa dan luar bandar, manakala RM100,000 untuk setiap daerah menyegerakan penurapan jalan persekutuan yang rosak.
Selain jumlah peruntukan, Azlan berkata, kerajaan perlu meneliti ketelusan sistem dan akta bagi mengelakkan ketirisan dalam penggunaan bajet penyelenggaraan jalan.
“Dari segi perubahan sistem, menyaman kontraktor akibat jalan rosak sebab kerja utiliti, akta itu masih tiada lagi, jalan-jalan di bawah pemaju, banyak yang masih boleh digazetkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Begitu juga dengan pemantauan JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi turapan. Jarang sekali kita lihat wakil jabatan membuat pemantauan. Hasilnya, kita lihat jalan kembali berlubang, mendap dan beralun,” katanya.
Walaupun peruntukan itu tidak mencukupi, beliau berharap dana berkenaan mampu memberi impak positif.