
PETALING JAYA: Keperluan pengangkutan awam di luar bandar seharusnya diberikan tumpuan sama dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan kelmarin.
Pakar Pengangkutan, Rosli Azad Khan, berkata pembinaan jalan raya sahaja tidak mencukupi tanpa mewujudkan perkhidmatan sesuai untuk penduduk di desa.
“Tumpuan juga harus diberikan dengan mewujudkan perkhidmatan bas sama seperti di bandar, mungkin saiz bas lebih kecil seperti bas mini, misalnya dan juga bas sekolah (saiz bas mini) untuk keperluan pelajar di kawasan luar bandar.
“Saya berharap dengan belanjawan ini, rakyat luar bandar tidak ketinggalan untuk mendapat perkhidmatan sama tetapi tidak serupa seperti permintaan di bandar,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu, menurutnya, perkhidmatan rel juga dilihat penting dalam menghubungkan perkhidmatan antara bandar, supaya ia tidak hanya bergantung kepada penggunaan kereta persendirian.
“Saya berharap belanjawan ini termasuk juga perkhidmatan rel antara bandar, sekarang ini ketinggalan dari segi persaingan dengan pengangkutan jalan. Penggunaan kereta persendirian ketika ini tertumpu pada kutipan tol.
“Satu perkhidmatan alternatif dalam bentuk rel mesti diperluaskan supaya hubungan antara bandar tidak saja berasaskan kepada kereta persendirian,” tambahnya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.
Manakala bagi isu pengangkutan, kerajaan dilihat lebih fokus kepada keperluan masyarakat bandar untuk bergerak ke tempat kerja, antaranya meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan RM150 juta bagi memperluas pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.