
KANGAR: Mengeluarkan mayat wanita mengandung di bawah runtuhan bangunan kediaman di Nurdagi, Gaziantep, merupakan detik menyayat hati yang tidak boleh dilupakan oleh anggota Bomba, Mohamad Shahidan Abd Razat.
Anak jati Kuala Kangsar, Perak itu yang baru lima bulan ditugaskan di Jabatan Bomba Perlis adalah antara 140 anggota yang menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turki pada awal bulan ini.
Menceritakan pengalaman pertamanya ditugaskan dalam operasi SAR di luar negara, bapa kepada empat anak itu berkata hatinya tersentuh apabila melihat seorang lelaki tempatan meraung kesedihan selepas pasukan penyelamat membawa keluar mayat isterinya dari runtuhan bangunan.
“Lelaki tersebut meminta kebenaran daripada pasukan penyelamat untuk melihat buat kali terakhir wajah isterinya dan meraung kerana tidak dapat menahan perasaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba Perlis.
Shahidan, 34, yang pernah beberapa kali terlibat dalam misi SAR termasuk kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Dis lepas berkata, walaupun terkesan dengan situasi itu, beliau perlu bersikap profesional dan menjalankan tugas tanpa diselubungi perasaan yang mampu menggugat penugasan.
Beliau yang berkhidmat selama 15 tahun sebagai anggota Bomba berkata cabaran paling besar dihadapinya ketika berada di Turki adalah terpaksa ‘berperang’ dengan cuaca sejuk melampau selain perlu mengikat perut.
“Pada waktu tengah hari, suhu adalah sekitar empat hingga enam darjah Celsius sahaja sebelum menurun antara -10 hingga -12 darjah Celsius pada sebelah malam, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk membantu mangsa,” katanya.
Beliau berkata pasukan SMART disegani oleh pasukan negara lain kerana berjaya mengesan ramai mangsa.
“Penduduk tempatan amat menghargai anggota kita dan mereka berkongsi makanan seperti roti walaupun dilanda bencana,” katanya yang berada di Turki dalam misi selama 16 hari bermula 8 Feb.
Menurut Mohamad Shahidan, pasukan SMART berjaya membawa keluar 50 mangsa gempa bumi berkenaan dengan lima daripadanya ditemukan masih hidup.