
PETALING JAYA: Seramai 431 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan akibat terkandas dalam banjir melibatkan tiga negeri.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpul maklumat terperinci mengenai calon terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM 2022 akan dilaksanakan bagi semua calon terjejas.
Pihak kementerian turut menasihatkan semua calon SPM 2022 memaklumkan kepada sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) segera, sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau pusat peperiksaan berhampiran.
“Berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang, dan Sarawak terjejas.
“Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan,” katanya menurut Astro Awani.
Katanya, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan pengarah pendidikan negeri.
“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung.