
PETALING JAYA: Mangsa banjir di enam negeri melambung kepada 22,761 melibatkan 6,380 keluarga, setakat 8.40 pagi tadi.
Menurut laman web InfoBencana JKM, Johor merekodkan jumlah mangsa tertinggi, 20,107 mangsa; Pahang (1,427); Negeri Sembilan (901); Sarawak (148); Sabah (108) dan Melaka (70).
Secara keseluruhannya, sejumlah 224 pusat pemindahan sementara dibuka dengan 178 daripadanya berada di Johor.
Di Johor, kawasan terjejas membabitkan Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Pontian, Johor Bahru, Mersing, Muar, Batu Pahat, dan Tangkak. Segamat menjadi kawasan paling teruk terkesan setakat ini.
Dalam pada itu, sebanyak 26 PPS dibuka di Pahang melibatkan 1,427 mangsa, diikuti 12 di Negeri Sembilan dengan 901 mangsa, tiga di Melaka dengan 70 mangsa, 4 di Sarawak dengan 148 mangsa dan 1 di Sabah dengan 108 mangsa.