
Beliau tiba pada 8.42 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) sambil diiringi anggota polis sebelum disambut beberapa penyokongnya yang hadir di kompleks mahkamah.
Sementara itu, Arul Kanda pula tiba pada 9.13 pagi, manakala isteri Najib, Rosmah Mansor dan anak perempuannya, Nooryana Najwa turut kelihatan selepas itu.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan akan menyampaikan keputusan itu.
Tahun lalu Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa, bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan bekas pengarah audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Najib, 70, yang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.