
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan seharusnya melihat kepayahan rakyat bergelut dengan masalah ekonomi ketika ini, bukan memberi bantuan yang hanya boleh digunakan selepas pencen.
Merujuk bantuan RM500 untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang simpanannya kurang RM10,000 dalam Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Bera itu berkata kerajaan juga seharusnya tidak menutup “pintu rundingan” bagi pengeluaran bersasar dicadangkan pelbagai pihak.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan, kerana beri tambahan caruman sebanyak RM500 kepada pencarum B40 tetapi RM500 itu dimasukkan ke dalam caruman untuk dikeluarkan selepas bersara atau jika penyimpan tu umur 40, 15 tahun akan datang baru boleh keluarkan RM500.
“Baguslah, murnilah apa yang kerajaan dah buat tu tetapi apa yang rakyat nak adalah sekarang, bukan 15 tahun akan datang,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.
“… yang mereka hadapi kesukaran adalah sekarang, rumah nak dilelong adalah sekarang, anak nak masuk universiti sekarang, mereka nak diisytiharkan muflis sekarang. Kalau tunggu 15 tahun, rumah dah kena lelong, dah muflis dah.”
Sebelum ini pelbagai pihak termasuk Ismail mendesak kerajaan mempertimbangkan rayuan rakyat untuk pengeluaran KWSP bersasar walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan cadangan itu tidak boleh dilaksanakan bagi menjamin masa depan persaraan pencarum.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan bantuan caruman RM500 kepada setiap pencarum berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 dalam Akaun 1 mereka.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pengeluaran KWSP bersasar itu juga amat diperlukan mengambil kira sebilangan besar rakyat sedang berdepan ujian bencana seperti banjir di Johor, sama seperti ketika Covid-19 melanda.
“…yang penting jangan tutup pintu terus. Buka, bincang lagi dan saya harap berilah ruang kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan, kalau tidak ramai terkesan.
“Saya harap dalam jawapan penggulungan menteri kewangan (Khamis ini) ada berita baik untuk pencarum KWSP,” katanya.