
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail akan menyerahkan pampasan RM20,000 kepada keluarga tahanan yang disalah maklum mengenai kematian anak mereka dan hampir membakar mayat rakan selnya.
Saifuddin memberi jaminan itu kepada M Kula Segaran (PH-Ipoh Barat) selepas ditanya sama ada Kementerian Dalam Negeri akan membayar pampasan kepada keluarga itu yang membelanjakan RM20,000 untuk kos pengebumian.
“Atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan keluarga (itu), saya sendiri akan bayar pampasan…esok pun boleh (saya) sampaikan.
“Tak adil untuk dia. Bukan anak dia yang meninggal. Mungkin dia datang dari keluarga susah, belanja RM20,000 itu besar. Jadi, saya akan selesaikan dalam tempoh kurang 48 jam,” katanya di Dewan Rakyat yang kemudian meminta Kla memaklumkan keluarga terbabit.
Ahad lalu, New Straits Times melaporkan sebuah keluarga di Negeri Sembilan terkejut selepas mendapat tahu anak lelaki mereka, yang dimaklumkan pihak berkuasa penjara sudah meninggal dunia ketika ditahan di Penjara Sungai Buloh pada 28 Feb lalu, masih hidup.
Keluarga itu berkata, mereka menerima panggilan telefon dari Jabatan Penjara memaklumkan anak mereka, yang disangka meninggal dunia dan mayatnya hampir dibakar, sebenarnya masih dalam tahanan jabatan itu.
Dalam laporan NST itu, keluarga terbabit berkata, mereka menghabiskan kira-kira RM20,000 untuk menempah khemah, makanan dan kos pembakaran mayat, sebelum dihubungi Jabatan Penjara sejurus sebelum membakar mayat itu.
Saifuddin yang mengakui terdapat “elemen kecuaian dan kelemahan sistem” yang mungkin menyebabkan kekeliruan itu ketika proses pengecaman mayat selepas bedah siasat dilakukan, berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.
“Kita akan sentiasa mengambil langkah penambahbaikan….apakah sistem sedia ada ini tidak memadai dari sudut proses identifikasi ini dan kalau kita perlu ‘explore’ idea-idea lain, kita terbuka.”
Kula, yang sudah menemui dua keluarga terbabit dalam kejadian itu, menyambut baik penubuhan jawatankuasa berkenaan dan mencadangkan ia berfungsi secara bebas dengan dianggotai orang awam.
Isnin lalu, Kula menggesa kerajaan menjalankan siasatan bebas ke atas kejadian itu dan pegawai penjara perlu bertanggungjawab atas kecuaian mereka yang menyebabkan tekanan emosi terhadap dua keluarga terbabit.
Beliau turut menggesa siasatan ke atas kematian tahanan itu dan mempersoalkan bagaimana kekeliruan itu boleh berlaku sedangkan semua tahanan diberikan nombor pengenalan diri.