
GOMBAK: Seorang pemimpin PAS menganggap individu yang memimpin negara ketika ini sebagai seorang yang tidak mengenang budi apabila menyerang pimpinan PAS, termasuk Presiden Abdul Hadi Awang, setelah berkuasa.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad membangkitkan perkara itu tanpa menyebut siapa yang dimaksudkannya, namun dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini antara pemimpin yang dipertahankan oleh parti itu selepas dipecat daripada Umno pada 1998.
“Malam ini, kita di tempat yang dulu merupakan tempat yang kita cetuskan ucapan-ucapan reformasi, tapi apa boleh buat apabila dia ada kuasa, dia perkecilkan macam-macam. Tak ada apa, PAS ini hati besar.
“Walaupun kami pernah berbakti dengan kamu, kami pernah berjasa dengan kamu, walaupun dewan ini dewan yang mencetuskan reformasi, yang mencetuskan ledakan rakyat, tapi apabila kamu ada kuasa, apa yang kamu tidak kata kepada kami?
“Apa kamu tidak hina tok guru kami? Rakyat boleh menilai, rakyat boleh tahu apa yang kamu lakukan,” katanya ketika berucap di majlis sempena solat hajat keselamatan negara dan solidariti menentang kezaliman terhadap Muhyiddin Yassin di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar Gombak malam tadi.
Lebih 1,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) berkumpul sebagai solidariti kepada Muhyiddin yang akan didakwa di mahkamah esok.
Antara pemimpin yang hadir termasuk Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin, Ronald Kiandee, dan Azmin Ali, serta beberapa pemimpin Bersatu dan PAS lain.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan Yasin, solat Isyak dan solat hajat sebelum ceramah oleh pimpinan PN.
Muhyiddin dalam ucapannya mengulangi bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan di sisi undang-undang semasa menjadi perdana menteri.
Katanya, beliau tidak gentar berdepan tuduhan esok, sambil menegaskan himpunan malam ini sebagai permulaan menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran.
“Kita tidak akan gentar, ini satu detik permulaan yang amat penting dalam sejarah kita. Kita berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Ini menjadi teras perjuangan kita, akan terus kita perjuangkan sampai kita berjaya,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin mengumumkan beliau antara peguam yang akan mewakili Muhyiddin esok dan tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat.
Katanya, dalam proses perundangan, sepatutnya tuduhan hanya dibawa ke mahkamah dengan kebenaran peguam negara setelah semua siasatan selesai.
Terdahulu Muhyiddin dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sembilan jam disoal.
Beliau ditahan SPRM pada 1 tengah hari tadi selepas dipanggil untuk diambil keterangan.
Ahli Parlimen Pagoh itu bakal menghadapi tuduhan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.