
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyuarakan Malaysia mempunyai “dasar jelas” yang membolehkannya menarik syarikat antarabangsa terkemuka seperti Amazon Web Services (AWS) untuk menubuhkan operasi berbilion dolar di negara ini.
Walaupun itu mungkin benar dalam kes AWS, realitinya ialah Malaysia masih mempunyai dasar yang tidak jelas, bercelaru dan tidak konsisten yang menghalang syarikat multinasional dan syarikat asing daripada melabur di negara ini.
Dasar yang tidak jelas seperti itu perlu ditangani oleh kerajaan perpaduan jika ia mahu menarik pelabur besar, kata kumpulan perniagaan.
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah, berkata dasar yang jelas adalah penting untuk keyakinan pelabur, tetapi masih terdapat beberapa perkara yang “kurang jelas” yang perlu diselesaikan.
“Sebagai contoh, memohon visa pemastautin tetap. Negara-negara seperti Singapura secara aktif menawarkan status penduduk tetap bagi bakat asing tanpa perlu memohonnya.
“Warga asing bernilai yang telah menetap di Malaysia selama bertahun-tahun, dan (yang telah) menyumbang kepada ekonomi harus diberi status penduduk tetap supaya mereka boleh terus menjadi aset kepada negara,” katanya.
Cheah memetik satu lagi contoh dasar yang tidak jelas atau sewenang-wenangnya – mentakrifkan perkara yang dianggap penting di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penutupan pandemik Covid-19.
Beliau berkata alkohol ditakrifkan dalam Akta Makanan 1983 sebagai minuman, dan yang ditakrifkan sebagai “barangan penting” dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Bagaimanapun, pentadbiran (pada masa itu) mengisytiharkan bahawa alkohol tidak penting, dan perniagaan tidak dibenarkan beroperasi. Sebaliknya, tembakau – yang bukan makanan – telah diisytiharkan sebagai barangan penting dan (perniagaan itu) dibenarkan beroperasi,” katanya.
Kenyataan iu dibuat selepas Anwar mengisytiharkan AWS hanya memutuskan untuk melabur di Malaysia kerana mereka percaya kerajaan perpaduan stabil dan memberikan “kejelasan dasar”.
Dasar tanpa penapisan
Minggu lepas, AWS – bahagian pengkomputeran awan Amazon.com Inc – mengumumkan ia akan melabur USD6 bilion (RM25.5 bilion) di Malaysia menjelang 2037 untuk mengukuhkan infrastruktur perkhidmatan awan di sini.
Cheah berkata pusat data awan Amazon terdekat berada di Singapura. Beliau juga menegaskan bahawa syarikat yang memerlukan hab penyimpanan data akan menilai sama ada Malaysia mempunyai “dasar tanpa penapisan”.
“Bagi Amazon, bukti (bahawa Malaysia memberikan kejelasan dasar) ialah sama ada kandungan yang disimpan atau dihoskan oleh pusat data Amazon di Malaysia akan ditapis. Ini memerlukan dasar tanpa penapisan yang jelas. Apa yang boleh dan tidak boleh dimasukkan,” katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi Yeah Kim Leng, yang berada dalam pasukan penasihat untuk menasihati Anwar atas kapasitinya sebagai menteri kewangan, berkata “kejelasan dasar semakin bertambah baik”.
“Contohnya ialah pengambilan pekerja asing di mana ia telah meningkat dengan ketara, pendaftaran terus oleh majikan dan yuran diturunkan dengan ketara untuk menampung kekurangan buruh yang dihadapi oleh banyak industri,” kata Yeah, seorang profesor ekonomi di Sunway University Business School.
Tambahnya, kelonggaran dasar jangka pendek kerajaan disertai dengan teras dasar untuk mempercepatkan automasi dan pendigitalan, dan mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.