
KUALA LUMPUR: Majoriti Perwakilan Bersatu yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-5 menyokong usul menolak peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai presiden.
Usul yang dibentangkan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu disokong apabila majoriti perwakilan bangun berdiri ketika undian dilakukan.
Ketika membentangkan usul itu, Faizal berkata, ini adalah masa untuk ahli bersolidariti menentang kezaliman.
Menurutnya, tanpa Muhyiddin, Bersatu tidak akan wujud.
“Parti ini lahir di teratak beliau (Muhyiddin) Asas perjuangannya adalah idealisme perjuangannya”.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin kemudian menyokong usul dibentangkan Faizal.
“Jangan dinoktahkan perjuangan yang suci, ikhlas dan jujur ini. Hasrat musuh untuk tamatkan perjuangan Tan Sri (Muhyiddin) kami tidak izinkan, kami mahu Tan Sri terus berjuang sebagai presiden kami.
“Demi sebuah perjuangan, demi Rakyat, bertahanlah Tan Sri selagi hayat dikandung badan,” kata Hamzah ketika ucapan menyokong usul tersebut pada perhimpunan itu di Menara PGRM.
Keputusan usul itu disahkan Pengerusi Tetap Mohd Suhaimi Abdullah.
Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ucapannya menerima keputusan Bersatu itu dan akan meneruskan tugas beliau sebagai presiden.
Semalam, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebulat suara menolak peletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu selepas diputuskan dalam mesyuarat khas.
Hamzah berkata, MPT menegaskan pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat atas jawatan beliau sebagai presiden, bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi.
Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung program Jana Wibawa untuk memperoleh RM232.5 juta bagi Bersatu.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.