
PETALING JAYA: Aktivis hak asasi migran mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang berkongsi klip video menunjukkan diri mereka mencetus konfrontasi dengan pelarian Rohingya.
Klip video berkenaan sudah tersebar di media sosial sejak beberapa bulan lepas, memaparkan golongan Rohingya dituduh menjalankan kegiatan perniagaan haram atau mengambil peluang kerja rakyat tempatan.
Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira menggambarkan hantaran seperti itu sebagai tindakan “vigilante”, dibimbangi mencetuskan kekerasan terhadap komuniti tersebut.
Adun Duyong Noor Helmy Abdul Halem daripada Umno, yang didapati mempunyai siri klip video memaparkan dirinya bersemuka dengan pelarian Rohingya, memberitahu FMT bahawa objektifnya adalah untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai hak mereka.
Beliau juga mahu mendedahkan tindak tanduk segelintir golongan Rohingya, bukannya menggalakkan orang ramai mengambil tindakan sendiri.
Bagaimanapun, Pereira menggesa polis mengambil tindakan terhadap mereka yang memuat naik klip video itu.
“Bukan tugas mereka untuk menjadi ‘vigilante’. Anda perlu hormat ruang peribadi dan hak seseorang mencari rezeki. ‘Vigilante’ seperti ini perlu dikekang,” katanya.
Bekas menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa turut menyatakan kebimbangannya dengan berkata, klip video seumpama itu akan membakar kebencian rakyat terhadap Rohingya.
“Kita tidak mahu orang awam melaksanakan undang-undang sendiri, yang akan membawa kepada kebencian terhadap Rohingya. Saya tidak dapat nafi, video seperti itu dan cara ia disampaikan malah dapat mengundang kekerasan terhadap (Rohingya),” kata Mujahid, yang juga naib presiden Amanah.
Bagaimanapun, Noor Helmy berkata beliau sudah membuat banyak laporan kepada pihak berkuasa sebelum ini berhubung pelanggaran undang-undang oleh komuniti Rohingya.
“Saya juga sudah mengetengahkan dalam DUN mengenai kehadiran Rohingya di Melaka, terutama di kawasan Duyong,” tambahnya.
Beliau menolak tanggapan klip video terbabit boleh mencetuskan kekerasan terhadap komuniti itu.
“Sejak video itu disebar, berapa banyak laporan kekerasan terhadap pelarian Rohingya diterima? Adakah ia meningkat atau tiada langsung? Berapa pula laporan dibuat rakyat Malaysia terhadap Rohingya?” soalnya.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dianggarkan 200,000 Rohingya berada di Malaysia setelah melarikan diri daripada penyeksaan dan pembersihan etnik di Myanmar.
Mereka tidak dibenarkan bekerja secara sah, tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kerajaan seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta tidak dibenarkan memiliki hartanah mahupun membuka akaun bank.